Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan masuk bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu pertemuan khas bersama pemimpin utama parti politik di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin utama parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara pemimpin utama parti politik mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terawal tiba di Istana Negara, kira-kira jam 7.49 pagi ini.

Sebelum ini, media melaporkan selepas Bersatu, YDPA dijangka bertemu pemimpin DAP dan PKR pada hari Khamis, dan seterusnya pemimpin Parti Pejuang Tanah Air dan UMNO pada Jumaat.

Spekulasi dalam arena politik sedang bertiup kencang setelah Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, membuat satu hantaran di Twitternya yang membayangkan YDPA memberi perkenan menerima menghadap barisan pemimpin utama parti-parti politik.

Namun menjadi kelaziman, Perdana Menteri akan menghadap YDPA pada setiap Rabu untuk menghadiri mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.

Perjumpaan Perdana Menteri pada awal hari ini dipercayai ada kaitan dengan keadaan semasa negara, terutama isu penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu hingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri pada 9 Februari lalu, mengumumkan pelantikan 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya. – MalaysiaGazette