Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Shabudin (tengah) bersama Oh Tong Keong (pengerusi Gerakan negeri) dan Muhammad Fauzi (Pesuruhjaya Pas negeri) pada sidang media di Bayan Lepas hari ini.

BAYAN LEPAS – Kesejahteraan rakyat daripada segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan merupakan keutamaan kerajaan PN ketika ini berbanding pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya berkata, sebagai kerajaan memerintah, peranan utama PN adalah menilai kesulitan yang dihadapi rakyat selain menyediakan bantuan yang diperlukan khususnya ketika penularan Covid-19.

Shabudin.

“Kita sendiri sedang lihat apa perkembangan seterusnya berkaitan Covid-19 kerana adakala jumlah jangkitan kes itu boleh meningkat apabila berlaku kelalaian daripada rakyat serta kerajaan sendiri.

“Jadi isu PRU-15 itu akan dilaksanakan apabila sampai masanya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 300 bakul makanan kepada penduduk terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 Daerah Barat Daya, di sini, hari ini.

Shabudin (tiga dari kanan) bersama Oh Tong Keong (dua, kanan) menyampaikan bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk kawasan PKPD Mukim 12, Bayan Lepas di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Parti Gerakan negeri, Oh Tong Keong dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof.

Mengulas lanjut, Shabudin berkata, tumpuan kerajaan ketika ini membabitkan penyampaian vaksin kepada seluruh rakyat dalam negara.

Kata beliau, penyampaian vaksin itu bukan sesuatu yang mudah kerana usaha yang dilakukan mendapat tentangan anti vaksin serta penularan berita palsu berkaitan pelaksanaannya.

“Kerajaan mempunyai fokus dan rakyat perlu bersabar memandangkan pengendalian kes Covid-19 ini tidak pernah dialami sesiapa sebelum ini.

“Benda ini perkara baru buat semua jadi kerajaan perlu meneliti secara mendalam dan hati-hati terutamanya dalam membelanjakan peruntukan negara.

“Apa yang penting sekarang sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat dalam negara ini perlu divaksin dan ia dijangka siap pada hujung tahun ini,” ujar Shabudin. – MalaysiaGazette