Pandangan Menara Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa yang terletak di Sanaa, Yemen September 8, 2020. foto Reuters

SANAA – Pentadbiran Houthi telah memulakan kerja-kerja pengubahsuaian Lapangan Terbang Sanaa, kata dua sumber industri.

Kumpulan yang menguasai sebahagian besar utara Yaman berkemungkinan membuka semula kemudahan itu di bawah usaha perdamaian yang dipimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Gabungan yang dipimpin Arab Saudi telah mengawal ruang udara Yaman sejak 2015, ketika pakatan itu campur tangan menentang gerakan Houthi yang berpihak kepada Iran selepas menggulingkan pemerintah yang diakui antarabangsa dari Sanaa.

Jurucakap gabungan itu gagal dihubungi untuk mendapatkan kenyataan sama ada ia bersetuju untuk membuka kembali ruang udara dan membenarkan lapangan terbang itu kembali beroperasi secara berkala.

Sumber industri memberitahu, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan di beberapa bahagian lapangan terbang yang ditutup sejak 2015 kecuali penerbangan PBB.

Lapangan terbang itu telah disasarkan berpuluh-puluh kali dalam serangan udara perikatan tentera sejak enam tahun lalu.

Perikatan tentera mendakwa kemudahan itu digunakan untuk penyeludupan senjata, namun dinafikan oleh Houthi.

Pengarah lapangan terbang, Khaled al-Shayef menerusi Twitternya berkata, beliau bertemu syarikat penerbangan Yemenia untuk membincangkan penyelenggaraan dan peralatan di lapangan terbang.

Malah, beliau juga sudah bertemu dengan syarikat minyak Yaman mengenai bekalan bahan bakar untuk pesawat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat telah meminta penghapusan sekatan di pelabuhan dan lapangan terbang Sanaa untuk meredakan krisis kemanusiaan yang mengerikan, sementara juga menekan Houthi untuk bersetuju dengan gencatan senjata nasional.

Riyadh dan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi mempunyai kaitan dengan penghapusan sekatan dalam perjanjian gencatan senjata, syarat yang ditolak oleh Houthi.

Oman, penyokong utama usaha perdamaian serantau ini menjadi tuan rumah beberapa pegawai Houthi, minggu ini mengirim delegasi ke Sanaa untuk mendorong perjanjian damai dengan Houthi.

Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Al-Busaidi tiba di Arab Saudi pada semalam untuk perbincangan, lapor media negara itu.

Gabungan itu juga telah membataskan akses ke pelabuhan Hodeidah, pintu masuk utama bagi import komersial dan bantuan Yaman.

Konflik, yang sebahagian besarnya dilihat di rantau ini sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan Iran menyebabkan 80% penduduk Yaman bergantung pada bantuan dan berjuta-juta orang kelaparan. – MalaysiaGazette