Warga emas menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun dan warga emas berusia 104 tahun merupakan antara 73 mangsa korban Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini.

Berikutan itu, jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada 3,684 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 29 kes kematian dilaporkan di Selangor diikuti Johor (11 kes), Negeri Sembilan (lapan kes), masing-masing empat kes di Kedah, Kuala Lumpur, Labuan dan Pulau Pinang.

Tiga kematian dikesan di Pahang, dua kes di Kelantan, serta masing-masing satu kematian di Melaka, Sabah, Terengganu, dan Perak, tambahnya.

“Mangsa kanak-kanak perempuan itu adalah warga tempatan berasal dari Kedah dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan mempunyai latar belakang penyakit kronik buah pinggang Systemic Lupus Erythematosus,” kata dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, warga emas wanita berusia 104 tahun yang menjadi mangsa korban Covid-19 berasal dari meninggal dunia di Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang.

Katanya, daripada 73 kematian yang direkodkan pada hari ini, seramai  44 orang adalah lelaki.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 7,325 kes sembuh dilaporkan berbanding 6,671 kes positif baharu direkodkan pada hari ini.

Menurutnya, jumlah kes sembuh dalam negara meningkat kepada 556,030 kes atau 86.9 peratus.

Tambahnya, jumlah kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 911 kes dan 462 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – MalasiaGazette