KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) terkilan kerana sehingga kini pekerja-pekerja perkhidmatan perbankan belum disenaraikan sebagai kumpulan sasaran barisan hadapan dalam mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Sedangkan, beberapa surat permohonan telah dikemukakan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan program vaksin sejak Mac lalu.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) telah menulis surat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada pertengahan bulan Mac lalu.

Malah, persatuan telah dimakluk akan persetujuan MOSTI untuk memberi pertimbangan kepada permintaan agar pekerja-pekerja perbankan turut diberi keutamaan.

Susulan permohonan MCBA kepada MOSTI itu, NUBE telah menulis surat kepada MOSTI pada bulan Mei dan dimaklumkan bahawa permintaan NUBE telah dipanjangkan kepada Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, pada 2 Jun 2021 lalu, NUBE telah memaklumkan kepada MITI bahawa sektor perbankan telah membekalkan senarai nama pekerja-pekerja yang terlibat sebagaimana diminta, tetapi sehingga ke hari ini tidak ada maklum balas daripada Kementerian tersebut.

Tambah beliau, NUBE sentiasa menghargai inisiatif yang sedang diambil oleh kerajaan dalam mengendalikan program vaksinasi dan mencapai sasaran kelompok iminiti atau herd immunity membabitkan rakyat Malaysia dengan menerima suntikan vaksin Covid-19, sekali gus membendung penularan pandemik itu.

Malangnya, ujar beliau, permintaan NUBE dalam perkara ini belum mendapat hasil yang positif.

”Sekali lagi, NUBE ingin menegaskan bahawa NUBE bersedia untuk memberi kerjasama dan sokongan ke atas program vaksinasi yang telah dimulakan oleh kerajaan, tetapi usaha kami dalam mendapatkan pengesahan daripada agensi-agensi kerajaan yang terbabit kelihatan terlalu perlahan.

“Tindakan seperti ini memudaratkan kesihatan dan keselamatan bukan sahaja pekerja-pekerja tetapi juga keluarga mereka yang menjadi barisan hadapan (frontliners) sektor perbankan yang telah dikategorikan sebagai perkhidmatan penting atau essential services dan sedia berkhidmat untuk orang ramai tetapi juga keluarga mereka,” ujarnya.

Solomon berkata, NUBE bersedia untuk membantu memobilisasikan pekerja-pekerja bank, termasuk ahli-ahli kami untuk menjayakan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

Oleh itu, janji untuk mengutamakan barisan hadapan di sektor perbankan yang merupakan salah satu sektor utama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang, mestilah dipenuhi dengan segera. – MalaysiaGazette