Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik inisiatif penangguhan bayaran balik
pinjaman secara bersasar kepada peminjam yang layak selama tiga bulan lagi.

Ia seperti diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad baru-baru ini.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, pihaknya komited memastikan inisiatif itu dilaksanakan dengan baik bagi memastikan peminjam mendapat manfaat daripada inisiatif yang diberikan oleh kerajaan.

Pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman berkenaan melibatkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN diberikan kepada peminjam yang kehilangan pendapatan (diberhentikan pekerjaan) dan yang terjejas pendapatan (pendapatan berkurangan).

Menurutnya, peminjam perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian di www.ptptn.gov.my/penangguhanpkp3.0 mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.

“Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Dasuki, penangguhan bayaran balik itu adalah untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan permohonan diluluskan dan dua bulan ke hadapan di antara Jun hingga Oktober 2021.

Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

“Peminjam adalah diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan penangguhan dapat disampaikan kepada mereka,” ujarnya.

Keputusan berkenaan menunjukkan kerajaan prihatin dan peka terhadap kesukaran yang ditanggung oleh peminjam PTPTN.

Diharapkan inisiatif itu dapat membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik dan meringankan beban ekoran terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bagi peminjam yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman mereka melalui saluran yang telah disediakan.

Untuk maklumat dan sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang atau melayari Portal Rasmi PTPTN di
www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim.- MalaysiaGazette