Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO dan Dewan Perniagaan mewakili peniaga SME mengadakan sidang media maya menerusi Zoom bertajuk Moratorium untuk Rakyat.
Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO dan Dewan Perniagaan mewakili peniaga SME mengadakan sidang media maya menerusi Zoom bertajuk Moratorium untuk Rakyat.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didesak untuk memberikan moratorium automatik selama enam bulan kepada semua rakyat di negara ini.

Desakan itu diberikan 125 buah badan bukan kerajaan (NGO) memandangkan kepada kesukaran meneruskan perniagaan dan tekanan ekonomi yang kian menghimpit rakyat negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, tidak ada sebab untuk kerajaan memberikan moratorium bersasar kerana ia wajar diberikan kepada semua rakyat.

Ujarnya, ini adalah yang paling minima boleh dibuat oleh kerajaan kerana ia tidak memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Tidak ada sebab untuk kerajaan merasakan wajar untuk pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menambah kesengsaraan rakyat dengan memaksa kita membayar pinjaman bank ini pada ketika tidak ada peluang untuk kita mencari nafkah.

“Saya rasa ini satu perkata yang zalim dan tidak adil dan bank banyak mengumpulkan keuntungan yang luar biasa. Akibat daripada pandemik ini ia menjadi peluang untuk mereka menambah keuntungan dengan menambah lagi faedah daripada moratorium yang dilajutkan,” katanya ketika menjadi salah satu ahli panel sidang media maya menerusi Zoom bertajuk Moratorium untuk Rakyat oleh Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO dan Dewan Perniagaan mewakili peniaga SME), hari ini.

Dalam pada itu, menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, institusi bank dilihat banyak membuat untung daripada mengalami kerugian.

Katanya, pihak bank tidak perlu beri tekanan kepada peminjam dan terus mengambil kesempatan kepada situasi ekonomi yang kian menghimpit rakyat.

“Mereka (bank) perlu tawarkan diri untuk selia dan bukannya beri tekanan kepada pengguna dan ambil kesempatan kerana mereka bukan pengguna tapi harus diingat mereka juga adalah pengguna pada perseptif yang berbeza.

“Pihak bank juga harus ingat mereka bukan berkecuali, jadi mari kita buat agenda untuk bank membantu. Kami pohon apa sahaja yang boleh dilakukan tanpa sebarang bayaran, bank boleh berikan pinjaman tapi kami mahu moratorium dan dikenakan dengan bayaran dan panalti yang kejutkan kami,” katanya.

Penyelaras Kumpulan Industries Unite, Datuk David Gurupatham berkata ,satu memorandum daripada kesatuan itu telah dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Jun lalu.

Bagaimanapun, menurut David sehingga kini, tiada maklum balas diterima pihaknya.

“Kami sudah beri maklumat dengan menulis kepada Perdana Menteri, tetapi sampai sekarang tiada maklum balas,” katanya.

Dalam memorandum itu, gabungan itu berkata, walaupun mereka menerima langkah kerajaan untuk memberikan moratorium bersasar, namun ada pihak yang tidak menerima manfaat itu.

Gerakan ini digerakkan 14 NGO utama antaranya Organisasi Peruncitan Bumiputera (BRO), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (​MAICCI), Persatuan Peruncit-Peruncit Malaysia (MRA), Majlis Pelancongan Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia. – MalaysiaGazette