Alian Yee

KUALA LUMPUR – Hampir 1 juta belia berjaya menebus kredit eBelia melalui ShopeePay dan setakat 7 Jun, program tersebut telah berjaya menjana jualan bernilai 120% daripada jumlah keseluruhan yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 140,000 penjual dan peniaga yang menerima ShopeePay.

Ketua ShopeePay Malaysia Alain Yee berkata, sebahagian besar daripada 1.7 juta pemohon yang berjaya telah memilih ShopeePay kerana e-dompet ini boleh digunakan di saluran dalam talian dan luar talian di seluruh negara.

Penggunaan ShopeePay menjangkau sehingga ke Semporna, Sabah; Miri, Sarawak; Kemaman dan Gong Badak di Terengganu dan Bachok, Kelantan.

Yee menambah, berdasarkan data awal dari 1 hingga 7 Jun, tingkah laku pengguna dalam kalangan penerima eBelia mencerminkan program ini telah memacu penggunaan e-dompet, dan berkemungkinan tinggi akan membawa kepada penggunaan jangka masa panjang.

”Daripada jumlah pemohon eBelia berjaya yang menggunakan dompet mudah alih kami, hampir 40% adalah pengguna baharu ShopeePay yang mengaktifkan e-dompet masing-masing semata-mata untuk eBelia,” katanya.

Beliau positif kadar pengekalan pengguna atau user retention rate dalam kalangan pengguna baharu dijangka tinggi kerana lebih daripada 20% pengguna baharu ini telah menambah nilai dompet ShopeePay mereka sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu mereka menggunakannya.

Mengenai barangan yang dibeli penerima kredit eBelia, Yee berkata, mereka menggunakan kredit eBelia untuk membuat pembelian yang praktikal: keperluan harian, makanan serta minuman, buku, kelengkapan rumah, dan lain-lain.

Melihat dengan lebih terperinci kepada corak perbelanjaan golongan muda eBelia dalam tempoh seminggu yang lalu, sebanyak 100 peniaga merekodkan bilangan transaksi tertinggi di luar talian, atas talian (melalui kedai web dan Aplikasi), dan juga di Shopee.

Bayaran yang dibuat di kedai peniaga ShopeePay (luar talian) iaitu lapan dalam setiap 10 transaksi dilakukan di pasar raya besar, pasar raya dan juga kedai serbaneka seperti cawangan Mydin, 99 Speedmart dan Billion di seluruh Malaysia.

Selain itu, bayaran dibuat melalui kedai web dan Aplikasi peniaga ShopeePay (atas talian) dengan satu dalam setiap lima transaksi adalah untuk membeli makanan dan minuman melalui aplikasi seperti KFC, DeliverEat dan ZUS Coffee.

Bayaran yang dibuat di Shopee: Watsons dan Guardian adalah dua daripada 10 jenama paling popular dalam kalangan penerima eBelia yang membelanjakan lebih daripada RM1.5 juta dalam tempoh hanya seminggu untuk membeli suplemen kesihatan, barangan penjagaan diri dan juga produk kecantikan dari kedua-dua farmasi berangkai ini.

Tambahan lagi, mereka membelanjakan lebih RM160,000 di kedai rasmi Big Bad Wolf Books di Shopee.

Para belia juga mengambil peluang untuk menaik taraf aksesori komputer dan gajet mereka menggunakan baucar dari pek baucar bernilai RM500 yang diterima, di kedai pengedar jenama Apple iaitu Switch, OPPO dan juga realme. – MalaysiaGazette