Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.Foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua pekerja wanita kerana disyaki mendera bayi di sebuah taska yang terletak di dalam sebuah hospital di Selangor baru-baru ini.

Difahamkan kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang pada Rabu lalu selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada ibu kepada salah seorang mangsa pada hari sama.

“Pengadu dalam kes ini adalah ibu kepada kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa penderaan.

“Mangsa berusia setahun lapan bulan mengalami luka di bahagian pipi serta lebam di beberapa bahagian anggota badan.

“Hasil siasatan lanjut oleh pihak polis mendapati terdapat seorang lagi bayi berusia setahun lapan bulan turut menjadi mangsa penderaan di taska berkenaan dan dipercayai telah dipukul di bahagian kaki dan kepala menggunakan bantal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Arjunaidi, kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Jelas beliau lagi, pihaknya turut merampas sebiji bantal dari lokasi kejadian dan siasatan lanjut mendapati taska berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“Kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan hampir siap sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette