Lelaki warga Pakistan, Ali Asghar didakwa atas pertuduhan meliwat seorang budak lelaki di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang buruh warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meliwat seorang budak lelaki pada Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ali Asghar, 20, selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa meliwat seorang budak lelaki berusia tujuh tahun sembilan bulan di ruang tamu sebuah rumah pangsapuri di Jalan Perai Jaya, Perai di sini kira-kira pukul 2 petang pada 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dia kelihatan terpinga-pinga di kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu memberitahu tidak memahami pertuduhan tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazliyana Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes berkenaan akan disebut semula pada 19 Julai depan untuk melantik juru bahasa Urdu.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. – MalaysiaGazette