Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket dadah jenis Heroin Base membabitkan warga tempatan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket dadah jenis heroin yang didalangi warga tempatan termasuk sepasang suami isteri menerusi empat serbuan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah menyerbu sebuah kediaman di Cheras berdasarkan maklumat yang diterima.

Menurut beliau, sepasang suami isteri dan seorang lelaki masing-masing warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 31 tahun diberkas menerusi serbuan yang dijalankan itu.

“Susulan tangkapan yang dibuat, polis turut menyerbu tiga lokasi berbeza di Cheras dan Kajang, Selangor dengan jumlah rampasan dadah keseluruhan dianggarkan sekitar 126.5 kilogram (kg),” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim bercakap pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket dadah jenis Heroin Base membabitkan warga tempatan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 JUN 2021.

Dadah yang dirampas membabitkan heroin base seberat 98.3 kg, heroin (2.02kg), ketamin (9.8kg) dan 59,000 biji pil erimin 5 (16.7 kg).

Tambah Azmi, polis turut merampas tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, sebuah kereta jenis Honda City, sebuah Proton Iswara serta wang tunai sebanyak RM400.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan, keempat-empat premis yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah itu telah disewa selama tiga bulan oleh suspek dengan bayaran sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Katanya lagi, semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Semua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 6 Jun lalu sehingga hari ini dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

“Sindiket ini dipercayai aktif menjalankan aktiviti memproses dan mengedar dadah sejak empat bulan lalu untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Keseluruhan dadah yang dirampas oleh pihak polis kita anggarkan boleh digunakan kira-kira 170,000 pengguna,” ujarnya.

Menurut Azmi, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan kenderaan dianggarkan berjumlah RM9.8 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette