Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pasukan petugas khas ditubuhkan untuk memastikan usaha jitu diambil memastikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kembali menganggotai gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Pasukan itu dijangka membawa pembaharuan yang dikehendaki dalam PSM selepas ini.

Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam kenyataan menyatakan pihaknya mengambil maklum keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mengekalkan hukuman menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan ASTAF baru-baru ini.

Dalam kenyataan terkini, PJS menegaskan, sebagai badan kawal selia sukan sepak takraw rantau Asia/Ocenia, ASTAF mempunyai bidang kuasa tersebut untuk menyingkirkan PSM,

“Manakala ahli gabungan mempunyai obligasi mematuhi peraturan, perlembagaan atau undang-undang ASTAF. Perbincangan bersama-sama pihak PSM dan wakil G11 telah diadakan pada 9 Jun lalu secara dalam talian yang mana perbincangan itu berjalan dengan lancar dalam suasana yang amat harmoni.

“Kedua-dua pihak amat komited dan bersatu hati untuk mencari penyelesaian dalam kemelut ini,” kata PJS.

Pesuruhjaya Sukan juga menambah PSM dan wakil G11 juga sangat teruja untuk melakukan pembaharuan yang dikehendaki demi kepentingan serta kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw di dalam negara ini.

Justeru katanya, kedua-dua pihak bertegas mahu memastikan badan induk sukan sepak takraw diterima semula sebagai ahli gabungan ASTAF.

Menurut PJS lagi, semua pihak bersepakat bahawa langkah penyelesaian hendaklah teratur mengikut proses-proses berdasarkan perundangan dan perlembagaan; iaitu Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], Perlembagaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“PSM dan G11 juga bersetuju dengan langkah-langkah remedi yang dirangka oleh PJS, dan hendaklah dilaksana dengan segera dalam mencapai matlamat ini selain PJS telah diberi amanah untuk menerajui semakan semula perlembagaan PSM.

“Bagi tujuan ini, satu pasukan petugas telah dibentuk yang turut melibatkan kedua-dua pihak,” katanya.

Kerjasama dan semangat berpasukan ini amat perlu bagi menyediakan asas tadbir urus badan sukan induk sepak takraw yang berintegriti, telus dan adil, seterusnya mengembalikan semula keyakinan para penggiat sepak takraw dan rakyat terhadap sukan warisan ini.

“PJS akan terus melaksana tanggungjawab sebagai perantara kepada PSM dan G11, bersedia memberikan khidmat nasihat dan panduan terutamanya dalam penambahbaikan perlembagaan, struktur jawatankuasa tertinggi serta sentiasa memantau kemajuan proses remedi bersama-sama pihak PSM dan G11,” kata PJS lagi.-MalaysiaGazette