KUALA LUMPUR – Parti Warisan dan Pas menyangkal kenyataan yang tular kononnya parti itu dan Pas menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri  baharu.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr yang menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut berkata, ia merupakan fitnah.

Katanya, kenyataan itu turut memalsukan tandatangan beliau sebagai mewakili parti.

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media Pas bertarikh 11 Jun 2021 tersebut yang mana saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama PAS untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.

“Warisan tidak pernah terlibat dengan kenyataan media itu,” ujarnya sambil menyifatkan perbuatan ini dilakukan oleh orang-orang yang kemaruk kuasa.

Loretto akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguamnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan turut menafikan mengeluarkan kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette