Anggota polis memeriksa kenderaan yang musnah selepas sebuah bas mini menjadi mangsa lsasaran bom di Kabul. foto Agensi

KABUL – Tujuh orang awam terbunuh dan enam yang lain cedera selepas dua letupan melanda bas mini awam di sepanjang jalan yang sibuk di bahagian barat Kabul, ibu negara Afghanistan.

Polis yang mengesahkan kejadian itu berkata, letupan berlaku di kawasan Sari Pul dan Mahtab Qala di Dashti Barchi, di Daerah Polis 13 dan Daerah Polis 6 pada tengah hari.

Ia menyebabkan panik dalam kalangan penduduk di kawasan kejiranan, yang telah menyaksikan letupan bersiri sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Seorang wanita antara yang terbunuh dan seorang lagi wanita cedera.

Salah satu bas yang disasarkan dalam kejadian itu turut terbakar dan musnah sementara beberapa kenderaan lain yang berada di sepanjang jalan juga rosak akibat letupan.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Ini adalah letupan kedua yang melanda Kabul bulan ini.
Pada 3 Jun lalu, sembilan orang awam terbunuh dan 10 yang lain cedera apabila dua bas mini awam diserang oleh letupan bom di bahagian barat Kabul. – MalaysiaGazette