Warga emas menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Satu lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Lembah Klang iaitu Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) di Seri Kembangan akan mula beroperasi Isnin ini, 14 Jun Jun 2021 dalam usaha untuk menyegerakan Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
(PICK).

Bagi memastikan kelancaran program pada hari pertama dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh pandemik, penjadualan jumlah janji temu hari pertama untuk MIECC dihadkan kepada 4,900 daripada kapasiti penuh iaitu 8,000.

Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat, menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Janji temu di PPV MIECC yang bermula dari 9 pagi sehingga 8 malam sedang dikeluarkan ketika ini dan orang ramai diminta untuk menyemak aplikasi MySejahtera mereka bagi mendapatkan butiran janji temu vaksinasi Covid-19 masing-masing.

Mereka yang diberikan janji temu dinasihatkan untuk sebaik-baiknya hadir tidak terlalu awal, sebaliknya tiba di MIECC 30 minit sebelum waktu janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, MIECC adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkasakan kadar vaksinasi dengan pembukaan enam PPV mega (PPV berkapasiti besar) seperti Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Axiata Arena, Setia City Convention Centre (SCCC) dan UiTM Puncak Alam.

Secara keseluruhannya, seramai 30,000 orang boleh divaksinasi setiap hari melalui 7 PPV ini.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu syarikat tidak berasaskan keuntungan milik KKM akan menguruskan PPV MIECC.

Pembukaan MIECC adalah sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kadar vaksinasi terus dikekalkan secara konsisten bagi mempercepatkan program vaksinasi negara untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Setakat ini, kadar vaksinasi negara telah mencecah paras 150,000 dos sehari dan kerajaan menyasarkan untuk terus mempertingkatkan
usaha vaksinasi bagi mencapai jumlah suntikan 200,000 dos sehari dalam masa terdekat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai janji temu boleh diajukan ke platform berikut:
MySejahtera Helpdesk : c
Laman web (semakan janji temu) : www.vaksincovid.gov.my/semak-status/
Pusat Panggilan PICK : 1800-888-828

– MalaysiaGazette