Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) meningkatkan kawalan keselamatan pekerja bagi menghadapi cabaran Covid-19 dengan memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, garis panduan tersebut adalah sebagai panduan kepada semua kakitangan, warga UMS dan juga pekerja luar berhubung langkah-langkah kawalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi pencegahan jangkitan Covid-19 di UMS.

Selain itu, beberapa Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga telah dibangunkan bagi mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan mana-mana operasi UMS.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia Peringkat UMS yang disiarkan secara dalam talian di laman Facebook rasmi UMS.Official dan platform Cisco Webex.

Menurut Taufiq, bagi mencapai satu sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang berdaya tahan, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Covid-19 UMS juga telah menjalankan pelbagai aktiviti.

”Ini meliputi roadshow pencegahan COVID-19 di UMS, statistik harian dan pemantauan kes positif COVID-19, Person Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) dalam kalangan pekerja, pelajar dan pekerja luar yang dipantau secara harian, pemantauan harian Pusat Kuarantin UMS.

”Pemantauan harian penggunaan PPE, gejala dan beban kerja barisan hadapan UMS, Aktiviti Pendidikan dan Promosi Kesihatan secara harian di media sosial rasmi UMS, Hotline Covid-19, pemantauan Covid-19 dan permohonan sebagai Pusat Pemberian Vaksin,” kata Taufiq.

Taufiq dalam masa sama berkata, pelajar merupakan kumpulan yang tergolong sebagai individu yang mungkin terkesan dengan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UMS terutamanya di kolej kediaman.

Untuk itu, Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), dengan kerjasama PKKP telah mewujudkan Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman yang julung kali diadakan bertepatan dengan falsafah kolej kediaman yang memelihara kesejahteraan dan keharmonian warganya. – MalaysiaGazette