Bayhaqqi Zikry mengidap penyakit jantung berlubang dan hipertensi pulmonal.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang kehilangan pekerjaan akibat kesan Covid-19 merayu sumbangan orang ramai untuk membeli mesin bantuan pernafasan untuk anak bongsunya yang berdepan penyakit jantung berlubang dan hipertensi pulmonal.

Mohd Sabtu Samad yang merupakan bekas pemandu pelancong berkata, anaknya, Bayhaqqi Zikry yang berusia enam bulan juga merupakan bayi sindrom down.

Beliau yang berusia 57 tahun berkata, Bayhaqqi banyak menghabiskan masa tinggal di hospital sejak dilahirkan  Disember tahun lalu sehingga hari ini.

“Bayhaqqi bergantung dengan mesin bantuan pernafasan untuk satu tempoh masa yang panjang sehingga paru-parunya berkembang baik.

“Harga mesin ini sekitar RM12,000 dan saya bersyukur kerana mendapat sumbangan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan serta memerlukan baki RM8,000.

“Memandangkan saya tidak bekerja sejak Covid-19 melanda tahun lalu, isteri, Nurul Asyiqin Zainal Abidin hanya suri rumah, kami memang buntu untuk mencari wang untuk membeli mesin bantuan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bayhaqqi Zikry telah menjalani tiga pembedahan sejak dilahirkan pada Disember tahun lalu.

Bayhaqqi yang merupakan anak keenam kini sedang mendapatkan rawatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak selepas menjalani pembedahan menutup lubang pada jantung di Hospital Serdang di sini pada awal Mei lalu.

Mohd Sabtu sudah memohon sumbangan dengan agensi yang berkaitan sejak dua bulan lalu namun permohonannya mengambil masa lama dan perlu mengikut prosedur ditetapkan.

Jelas beliau, Bayhaqqi hanya boleh kembali ke rumah dan menjalani kehidupan biasa sekiranya memiliki mesin bantuan pernafasan itu dan tidak perlu lagi tinggal di hospital.

Menurutnya, rawatan tiga pembedahan anaknya itu sebelum ini telah menelan kos sebanyak RM70,000 dan bersyukur kerana semuanya ditanggung oleh pihak hospital.

Ia melibatkan pembedahan mengikat atau mengecilkan saluran darah ke jantung, angiogram untuk memeriksa tekanan dalam jantung dan terbaru menutup lubang di jantung Bayhaqqi.

“Ibu bapa mana yang tidak tertekan, sedih dan risau apabila mengenangkan masa depan anak saya ini namun saya anggap ini ujian daripada Allah.

“Saya juga bersyukur kerana ada menerima bantuan keluarga dan sahabat selain bantuan kerajaan untuk golongan B40 selepas kehilangan pekerjaan sejak tahun lalu untuk kami meneruskan kehidupan dalam keadaan sukar ini.

“Saya berdoa agar pandemik Covid-19 berakhir dengan secepat supaya semua rakyat Malaysia terutama yang senasib dengan saya ketika ini dapat kembali berkerja dan berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.

Sementara mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Bayhaqqi dan keluarga, boleh menghubungi talian Whatsapp +60 13-600 6557 (Mohd. Sabtu).

Sumbangan pula boleh disalurkan kepada Maybank – 101011306572 (Mohd. Sabtu Samad). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast