Program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam senada dengan hasrat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mencadangkan kepada kerajaan untuk meningkatkan jumlah minyak masak bersubsidi sebanyak kira-kira 300,000 tan untuk menghadapi masalah kekurangan stok yang berlaku selepas harga minyak sawit di pasaran melonjak.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Wee Jack Seng berkata,  cadangan itu membabitkan peningkatan daripada 700,000 tan kepada sejuta tan supaya orang ramai dapat membeli minyak sawit dengan lebih murah.

Katanya, cadangan itu kini sedang dibincangkan dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta agensi berkenaan sebelum diserah kepada Kabinet untuk keputusan muktamad.

Katanya kepada Nanyang Siang Pau, peningkatan harga minyak sawit telah menimbulkan rungutan pengguna dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut mengadakan mesyuarat dengan pihak berkepentingan untuk menstabilkan harga minyak tidak bersubsidi.

Daripada maklumat yang ada, Malaysia mengeksport kira-kira 19 juta tan minyak sawit setiap tahun manakala 10 juta tan untuk kegunaan tempatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7.2 juta tan telah menerima subsidi dan dijual sebanyak RM2.50 satu kilogram dalam bentuk pek plastik.

Untuk minyak tidak bersubsidi yang dijual dalam bentuk botol pula, harganya ditentukan mengikut keadaan pasaran.

Jack Seng berkata, bekalan untuk minyak bersubsidi adalah untuk memenuhi permintaan  kumpulan B40 dan M40.

Mengenai kekurangan stok yang berlaku sekarang, Jack Seng berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu memperketatkan kawalan dan penguatkuasaan untuk mengelakkan penyelewengan.

Katanya, terdapat pengilang yang dipercayai membungkus minyak bersubsidi kepada minyak tanpa subsidi untuk mengaut keuntungan besar.

“Ini merupakan satu faktor dan ia perlu disiasat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette