Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu perlu menambah peruntukan terhadap program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) bagi membantu meringankan beban rakyat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkara, pihaknya percaya pihak kerajaan negeri mampu menambahbaik inisiatif BERKAT 3.0 ini bagi memastikan lebih ramai golongan akan memperoleh manfaat daripada program ini.

Jelas beliau, tahun 2019 sahaja, Terengganu memperoleh RM1.277 bilion Wang Tunai Petroleum (WTP) dari kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri itu juga merupakan antara negeri yang mencatatkan prestasi ekonomi terbaik pada tahun 2019 dengan pertumbuhan Kadar Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada 2.5 peratus kepada 3.3 peratus.

“Pentadbiran Kerajaan Johor seharusnya dijadikan contoh dalam mengurus krisis Covid-19 ini dan antara yang boleh dilakukan pihak Kerajaan Terengganu dalam menambahbaik BERKAT 3.0 dengan bantuan one-off RM 500 kepada pemandu bas atau van sekolah, pengusaha kantin, pengusaha kedai gunting rambut, imam, bilal, ketua kampung, pengusaha homestay dan sebagainya.

“Penambahbaik lain adalah dengan denambah peruntukan dalam bakul makanan supaya lebih ramai golongan terjejas dapat menikmatinya dan menambah bantuan peranti atau “tablet” kepada ibu bapa B40 supaya memudahkan PdPR.

“Selain Kerajaan Terengganu boleh membeli Covid Test RTK Antigen supaya lebih banyak saringan Covid-19 dapat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Negeri,” katanya di hantaran Facebook miliknya di sini hari ini.

Najmil Faiz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, perbezaan politik perlu diketepikan dan semua pihak bersama-sama memastikan tiada golongan yang ketinggalan dan tercicir khususnya di era pandemik Covid-19 ini.

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah memberi peruntukan bersasar yang berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan DUN dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000, pemotongan gaji Menteri Besar serta Exco bagi sumbangan Tabung Covid-19 Terengganu dan pengecualian bayaran sewaan presmis PBT. – MalaysiaGazette