Unit K9 serta pihak forensik menjalankan siasatan di kediaman rasmi Datuk Bandar MBPP di Jalan Park, Pulau Tikus di sini semalam.

GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelesaikan kes pecah masuk kediaman rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang di Jalan Park, Pulau Tikus di sini dalam tempoh kurang 24 jam.

Kes berkenaan diselesaikan susulan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menahan empat lelaki termasuk dua beradik berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun di sekitar Bagan Ajam, Butterworth pada jam 10.15 pagi semalam.

Difahamkan, kejadian pecah masuk itu disedari ahli keluarga Datuk Bandar pada jam 9 pagi selepas mendapati ruang atas dan bawah rumah berada dalam keadaan berselerak.

Kediaman rasmi Datuk Bandar MBPP di Jalan Park, Pulau Tikus di sini.

Pemeriksaan lanjut di kediaman tersebut mendapati komputer riba, beg jenama Louis Vuitton, telefon bimbit, matawang asing berjumlah 5,000, serta sebuah kereta jenis Honda CRV turut dilarikan penjenayah.

Manakala semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pula mendapati, ada kelibat lelaki memasuki kediaman dua tingkat itu pada jam 5 pagi.

Susulan itu, bertindak atas risikan pihak polis menahan empat lelaki di sekitar Butterworth yang dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk dan larikan kereta milik Datuk Bandar MBPP.

Pihak forensik menjalankan siasatan di kediaman tersebut.

Difahamkan tiga daripada suspek yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan mengesahkan kejadian dan tangkapan empat suspek tersebut.

Jelasnya, pihak polis berjaya merampas semula sebahagian daripada barang yang dilarikan suspek.

“Buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana kita masih mengesan saki baki suspek serta barang kes,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Unit K9 turut dibawa ke lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A akta yang sama. – MalaysiaGazette