KUALA LUMPUR – Polis memburu usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai  Sajjad bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berkata, Sajjad adalah saksi yang perlu hadir bagi prosiding perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.

Menurut kenyataan tersebut, Sajjad dikesan beralamat terakhir di No 2, Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu,” katanya.

Jika sabit bersalah, Sajjad boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda.

“Saksi tersebut atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafrina Nadzleen Ibrahim di talian 019-2692954 dengan segera,” tambahnya.

Sajat sebelum ini dilaporkan mungkin berada di luar negara selepas diburu setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Syariah pada 23 Februari lalu.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal menghadirkan diri ke prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Untuk rekod, Nur Sajjad pada 6 Januari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018 lalu.

Sementara itu, IPD Ampang Jaya turut mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan melibatkan pelaburan saham.

Kali terakhir, Cheah Kok Hau dikesan di alamat No.18, Jalan 5, Taman Kandan Baru, Batu 8, Jalan Puchong, Selangor.

Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Syafarina Nadzleen Ibrahim di talian 0192692954.-MalaysiaGazette