Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mencemar duli mengadakan lawatan mengejut di Tasik Chini dekat sini semalam.

Ia susulan apabila laporan dan gambar tular menerusi media sosial  mendakwa berlaku aktiviti perlombongan berlaku di tasik berkenaan sejak kebelakangan ini.

Baginda juga telah menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar bertujuan memelihara khazanah alam di kawasan itu.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata menerusi kenyataan media berkata, baginda juga menitahkan kawasan bekas lombong dipulihkan dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, juga meneliti laporan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan, tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang telah dijalankan kerajaan negeri.

“Justeru, baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan (perlombongan) baharu sejak 2019 selain turut menyarankan agar aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan,” kata kenyataan yang sama.

Baginda juga mahu aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan oleh kerajaan negeri serta Persekutuan yang sedang berjalan dipergiatkan lagi dan memperkasakan penguatkuasaan secara bersepadu melibatkan agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan.

“Tengku Hassanal bertitah bahawa Tasik Chini adalah permata alam sekitar di Pahang dan pengiktirafan bertaraf dunia sebagai tapak rizab biosfera UNESCO pertama di Malaysia dan pengiktirafan dunia itu hendaklah dipertahankan.

“Tasik Chini yang diberi status tapak rizab biosfera (UNESCO) dapat diberikan keutamaan dalam peruntukan kewangan dan pembangunan lestari oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Kementerian Alam Sekitar dan Air,” titahnya.

Dalam titah baginda semua pihak memain peranan termasuk Badan Bukan Kerajaan dan penduduk setempat  dalam menjaga  Kawasan Tasik Chini supaya keindahan flora dan fauna dan penempatan masyarakat Orang Asli berhampiran terus terpelihara. – MalaysiaGazette