Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berharap kerajaan membenarkan perniagaan untuk tidak membayar gaji, sewa, pinjaman dan bil utiliti selama sebulan dengan pelanjutan kawalan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Michael berkata, pelanjutan kawalan penuh selama dua minggu akan merosakkan perniagaan dan mengekang ekonomi sedangkan pandemik juga tidak dapat ditamatkan.

“Kerajaan perlu tegas dan teguh dalam menamatkan wabak ini,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Katanya, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada negara besar tertentu yang berjaya mengawal wabak sedangkan mereka mempunyai populasi yang besar.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Tan Sri Soh Thian Lai berharap kerajaaan dapat mewujudkan pakej rangsangan bernilai RM200 bilion untuk menyelamatkan keadaan.

Katanya, pelanjutan kawalan penuh adalah tidak adil untuk perusahaan tertentu yang membekalkan bahan untuk pasaran antarabangsa, tetapi tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Beliau berharap PKP dapat memasuki fasa kedua secepat mungkin untuk mengurangkan impak terhadap ekonomi.

Selain itu, kerajaan juga dicadangkan membenarkan perusahaan yang menerima tempahan antarabangsa untuk beroperasi.

Menurutnya, tindakan meletakkan 80 peratus perusahaan sebagai sektor tidak penting dan mengehadkan produktiviti sektor penting pada kadar 60 peratus telah melumpuhkan peranan sektor pembuatan Malaysia dalam rantaian pembekalan antarabangsa.

“Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah beroperasi sepenuhnya dan Malaysia menyokong pasaran-pasaran ini.

“Pelanjutan kawalan penuh akan menjejaskan pelaburan asing di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, walaupun untuk perusahaan yang dibenarkan beroperasi, mereka menerima siasatan dan pemeriksaan pihak berkuasa setiap hari.

“Malahan ada yang membawa media semasa pemeriksaan, semua ini menjejaskan produktiviti pengeluaran,” katanya. – MalaysiaGazette