PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Brickfields meminta penduduk di Kampung Sungai Penchala, di sini, tidak keliru dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di penempatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, PKPD di kampung berkenaan hanya melibatkan beberapa kawasan tertentu sahaja dan bukan keseluruhan kawasan perkampungan itu.

“Setelah perlaksanaan PKPD di Kampung Sungai Penchala telah memasuki hari ke-5, masih terdapat kekeliruan kalangan penduduk setempat berkenaan lokasi spesifik pelaksanaan PKPD di Kampung Sungai Penchala.

“Usah keliru kerana PKPD di kawasan Kampung Sungai Penchala hanya membabitkan beberapa kawasan tertentu sahaja dan bukannya keseluruhan kawasan di dalam Kampung Sungai Penchala.

“Kawasan yang terlibat PKPD hanyalah Jalan Sungai Penchala 11, Jalan Sungai Penchala 12 dan Jalan Sungai Penchala 12(A),” katanya dalam satu kenyataan tengahari tadi.

Beliau menambah, penjelasan itu diharap dapat memberikan gambaran yang lebih jelas kepada penduduk setempat mengenai kawasan yang terlibat dengan PKPD di kampung mereka.

Justeru katanya, penjelasan polis juga diyakini dapat mengelakkan kekeliruan dan memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk di kawasan sekitar terutama untuk tujuan bekerja.

“Bagaimanapun penduduk kampung berkenaan adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP di kawasan yang tidak terlibat dengan PKPD,” kata beliau. – MalaysiaGazette