Lima lelaki warga asing yang bekerja di dalam bot tempatan ditahan APMM.

KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan, ditahan pada kedudukan 2.1 batu nautika tenggara, Pulau Tuba, Langkawi, lewat malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut ditahan pada jam sekitar 11.15 malam hasil risikan dan rondaan bot ronda melalui Op Benteng dan Op Aman.

Semasa dikesan, bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda.

Pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa mendapati, bot bernombor pendaftaran KHF 2652 dikendalikan lima kru termasuk tekong, berumur antara 19 hingga 54 tahun, yang mana tekong bersama tiga kru merupakan warga Thailand, manakala seorang lagi kru adalah warga tempatan.

Tekong dan kru asing tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan, selain kru warga tempatan bot berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemilik bot juga disyaki melanggar syarat sah lesen serta disyaki melakukan kesalahan menggaji kru warga asing tanpa permit.

Bot beserta lima kru kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast