Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan sejak Januari tahun ini bakal tamat pada 1 Ogos nanti namun namun kini dipersoalkan oleh sesetengah pihak terutama pembangkang dan pemimpin parti yang juga menjadi kerajaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan sejak Januari tahun ini bakal tamat pada 1 Ogos nanti.

Ia dikuatkuasakan sebagai langkah untuk membendung penularan Covid-19 namun kini dipersoalkan oleh sesetengah pihak terutama pembangkang dan pemimpin parti yang juga menjadi kerajaan.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, pelbagai pandangan yang disuarakan oleh rakyat berkenaan Proklamasi Darurat ini.

Bagi seorang warga emas, Woon Tat Tee, 60, Proklamasi Darurat tidak perlu disambung lagi selepas Ogos ini demi memastikan pemulihan ekonomi.

Woon Tat Tee . Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2021.

Jelasnya, darurat hanya mengakibatkan ekonomi negara lembab sekaligus menjejaskan pelaburan.

Situasi ekonomi negara,  tambah Tat Tee akan turut menjejaskan kehidupan rakyat.

“Kalau boleh tamatkan sebab buat masa sekarang semua orang susah, ekonomi lembab jadi saya harap kalau darurat dibatalkan mungkin pelaburan langsung akan dapat dijana, semua orang kerja.

“PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kali ini makin lama makin teruk, tapi semalam kes makin turunkan. Jadi harap ia semakin turun jadi bagus juga bila PKP disambung, sebab kes tidak turun mendadak jadi sebab itulah PKP disambung. Jadi saya harap rakyat tidak keluar rumah kecuali ada perkara nak dibuat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Senada dengan Tat Tee, seorang ejen insurans Singarayar, 70 turut menggesa agar Proklamasi Darurat ditamatkan segera.

Ujarnya, kelemahan ekonomi negara sangat memberi kesan kepada rakyat yang tidak lagi dapat menjana pendapatan seperti sebelum ini.

Sehubungan itu Singarayar berharap kerajaan dapat membantu rakyat dan salah satunya dengan menamatkan Proklamasi Darurat.

Singarayar. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2021.

“Saya tidak setuju Proklamasi Darurat ini. Tamatkan dengan segera. Kalau tidak pergi kerja macam mana nak teruskan hidup? Pendapatan saya sekarang berkurang 50 peratus untuk setahun.

“Saya harap kerajaan betul-betul ingat dan tolong rakyat, tidak perlu darurat tamatkan, tapi PKP boleh teruskan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Singarayar berkata, ia memadai dengan pelaksanaan PKP sahaja untuk membendung penularan Covid-19 seperti di negara-negara lain.

“Teruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tempat kerja. Orang muda banyak hutang sekarang, kalau tidak pergi kerja macam mana nak hidup,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd Farid Mat Shari, 32, berpendapat Proklamasi Darurat wajar disambung sekiranya kes Covid-19 masih belum nampak jalan untuk turun.

Namun katanya, SOP perlu dilaksanakan dengan tegas dan memastikan rakyat mematuhinya.

Mohd Farid Mat Shari. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2021.

“Bagi saya, kalau kes masih lagi tinggi dan SOP masih tidak dipatuhi, jadi kita kena sambung Proklamasi Darurat tapi kita mesti konsisten, SOP tidak mengelirukan.

“Saya pun setiap kali pergi kerja macam hari ini, saya keliru dokumen apa yang saya perlu bawa jadi saya kena semak setiap kali pergi kerja takut ada perubahan.

“Tidak ada isu pun kalau nak sambung tapi kita kena fikir kesan kepada orang yang berniaga diorang antara terkesan,” katanya.

Untuk rekod pada 12 Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan Proklamasi Darurat dikuatkuasakan hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast