Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Disebabkan Wilayah Persekutuan Labuan mencapai kira-kira 6,155 kes Covid-19 sehingga kini maka menyasarkan kawasan itu bakal mencapai imuniti kelompok sewal Julai depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan menghantar 30,000 dos vaksin ke Labuan sebagaimana yang dijanjikan Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

“Kita bersetuju untuk melipatgandakan fasa vaksinasi di Labuan daripada kurang 1,000 suntikan sehari kepada kepada 300 peratus dengan kapasiti 3,000 suntikan sehari.

“Kita juga putuskan dengan persetujuan CITF untuk menghantar 35,100 vaksin dan mungin boleh ditambah dengan kapasiti untuk sampai ke sasaran imunisasi kelompok diwujudkan,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook hari ini.

Annuar berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Khairy malam tadi.

Semalam, Khairy berkata, kerajaan bersetuju untuk menghantar kira-kira 30,000 dos vaksin ke Labuan susulan krisis Covid-19 di sana yang disifatkan agak kritikal.

Untuk rekod, Labuan mempunyai kira-kira 100,000 penduduk.

Dalam pada itu, Annuar juga memaklumkan Wilayah Persekutuan Putrajaya juga akan mencapai imuniti kelompok juga pada akhir Julai dan Kuala Lumpur pada akhir Ogos depan.

“Pada masa ini di Kuala Lumpur jumlah yang telah divaksin berjumlah 700,566 individu yang sekurang-kurangnya mendapat satu dos, Putrajaya 47,460 individu sementara di Labuan kira-kira 32,424 orang,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kementerian telah mengaturkan 120 tan makanan tertentu yang terdiri daripada 75 tan beras, 15 tan minyak masak, 15 tan tepung gandum, 15 tan gula dengan kerjasama Tentat Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bantuan berkenaan akan sampai Khamis ini untuk diagihkan kepada lapan lokaliti di wilayah itu.

Selain itu, lima lagi bentuk bantuan akan disampaikan kepada penduduk Labuan antaranya 3,000 bakul makanan kepada rakyat Labuan yang akan diuruskan Perbadanan Labuan.

Malah pihaknya juga memberikan bantuan secara one-off bernilai RM500 kepada 128 pengusaha bas mini dan bas sekolah.

“Selain daripada itu juga bantuan kepada 90 pengusaha teksi di Labuan sebanyak RM500 secara one-off dengan peruntukan RM45,000.

“Kita juga akan beri bantuan kepada golongan belia yang berniaga di bawah Program Belia Berniaga dengan kira-kira 100 penerima yang akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM500.

“Kita juga bersetuju untuk memberikan bantuan secara one-off kepada 500 penghantar makanan yang menerima bantuan RM300,” katanya lagi. – MalaysiaGazette