KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memperuntukkan RM2 juta bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan dengan pandemik Covid-19 terutama golongan B40, mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50% atau yang hilang punca pendapatan.

Sehingga kini, MAIS telah mengagihkan sumbangan kepada 15,418 keluarga penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM1,514,800.00 dari peruntukan agihan fidyah MAIS sejak Program Agihan Fidyah MAIS ini dilancarkan pada 28 Disember 2020.

Setiausaha MAIS, Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan berupa pek barangan makanan kepada pemohon yang layak, dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah yang terlibat.

RSAFM berperanan membantu mengemaskini dan mengesahkan maklumat mereka yang memerlukan dan membantu pengagihan fidyah MAIS.

”MAIS berharap sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh setiap ketua keluarga yang terkesan bagi memastikan mereka mendapat bekalan makanan seharian yang mencukupi, terutamanya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalam Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Shahir berkata, MAIS mengajak semua umat Islam dalam Negeri Selangor yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan memerlukan bekalan makanan asasi untuk menyertai Program Sumbangan Agihan Fidyah MAIS dengan menghubungi mana-mana Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS.

Pemohon boleh merujuk pegawai urusetia Agihan Fidyah MAIS (AFM) iaitu Ustazah Hafizatul Akmal binti Abd Jalil di talian 019-264 6277 atau Puan Amirah Addilah binti Mohd Johari di talian 017-327 2069. – MalaysiaGazette