Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan terus menuntut supaya parti itu disahkan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak ada sebab parti yang dinaunginya itu tidak boleh didaftarkan kerana telah memenuhi segala syarat.

“Yang boleh jadi syarat ialah Pejuang ini mungkin menghalang mereka daripada mencapai kemenangan (jika berlaku PRU15).

“Kalau itu sebabnya ia adalah salah kerana menggunakan kuasa kerajaan untuk parti. Kalau mereka mengaku ini, sebab kami tak mahu lawan dengan Pejuang takut kami kalah, itu salah,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian, hari ini.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri memberitahu, terdapat banyak hakisan di dalam demokrasi ketika ini tetapi ia adalah satu kezaliman jika terus berlaku dalam kerajaan.

Bagaimanapun katanya, jika pendaftaran masih lagi tidak diluluskan Pejuang mempunyai beberapa cara untuk memastikan pendaftaran parti itu diluluskan.

“Ya lah, kalau tak berjaya kita ada beberapa cara plan A, plan B, plan C, plan D dan sebagainya. Tapi saya tak bolehlah jelaskan…kita pun ada rahsia sikit,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada Pejuang akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mencapai kemenangan pada PRU15 selepas UMNO mengumumkan penarikan diri  daripada menjalin kerjasama dengan parti itu, Dr Mahathir memberitahu, perjuangan parti yang dipimpinnya berlainan daripada parti-parti lain.

Beliau mendakwa, parti-parti yang ada hanya berjuang semata-mata untuk menang dan kemudiannya menubuhkan kerajaan.

Katanya lagi, Pejuang dibentuk untuk memperjuangkan agama, bangsa, tanah air dan khusus dalam membanteras rasuah.

“Kalau latar belakang mereka boleh benci rasuah, tolak rasuah, kita boleh kerjasama.

“Tetapi saya lihat kebanyakan daripada mereka dengan jelas terlibat dengan rasuah walaupun ianya baggage (beban) mereka kita tidak boleh bekerjasama,” ujarnya.

Pada Januari lalu, RoS menolak permohonan Pejuang sebagai sebuah parti politik atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.

Pejuang kemudiannya mendapat pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan bagi mencabar tindakan RoS yang masih belum meluluskan pendaftaran parti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast