Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu telah menunjukkan kesan positif, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohammed Azmin Ali.

Beliau berkata, ini berdasarkan kadar kes jangkitan harian Covid-19 didapati semakin menurun.

Namun, katanya, daripada segi ekonomi dapat dilihat banyak pihak telah terkesan terutama bagi golongan B40 yang kebanyakan peniaga kecil.

“Seperti mana kita tahu, hasil dari pelaksanaan PKP 3.0 atau total lockdown telah menunjukkan kesan positif apabila kadar kes jangkitan harian Covid-19 didapati semakin menurun.

“Namun dari segi ekonomi kita dapat lihat ramai pihak telah terkesan terutama buat golongan B40 yang kebanyakannya merupakan peniaga-peniaga kecil,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Mohammed Azmin berkata, kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai langkah untuk negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Ini, ujar beliau, selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini pelan tersebut akan dibuat berdasarkan kepada data dan sains yang dibentangkan dalam tempoh masa terdekat.

Katanya, turut merangkumi adalah dari segi pengurusan Covid-19, ekonomi serta program vaksinasi yang sedang giat berjalan sehingga kini.

“Ia akan diperluaskan lagi dengan skala besar apabila adanya inisiatif seperti Trak Vaksin Bergerak dan pembinaan Pusat Pemberian Vaksin baharu yang membolehkan pemberian suntikan dos vaksin sehingga 200,000 sehari menjelang Julai ini.

“Saya menyeru semua pihak memberikan kerjasama untuk kita sama-sama mencapai imuniti kelompok di seluruh negara menjelang akhir tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette