Gambar hiasan.

GOMBAK – Seorang pemandu lori mati dipanah petir ketika dia sedang mengikat kanvas kenderaannya berikutan hujan lebat di kawasan kuari di Rawang, dekat sini, semalam

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan perkara tersebut pada jam 4.05 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis MPV, IPD Gombak telah ke lokasi kejadian dan pihak ambulans dari Hospital Selayang turut sampai di tempat kejadian dan telah mengesahkan kematian mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa, 27, merupakan seorang pemandu lori telah ke kawasan kuari tersebut pada hari kejadian dan ketika itu hujan lebat melanda kawasan kuari tersebut.

“Ketika mangsa meletakkan kenderaannya lebih kurang 50 meter dari tempat muatan batu bata, mangsa telah keluar dari lorinya dan berdiri di tepi lori itu bagi tujuan mengikat kanvas muatan batu bata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, tiba-tiba terdengar bunyi dan diikuti petir berhamoiran lori sebelum mangsa terbaring di tepi lorinya.

Menurut Zainal, pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa mendapati tiada unsur-unsur jenayah.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Selayang untuk ujian swab test dan post mortem bagi mengenalpasti punca kematian.

“Kes sedang disiasat di bawah klasifikasi Mati Mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette