Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli tahun ke tahun menyusut 33.5 peratus pada April 2021 kepada 23,013 tan metrik berbanding 34,616 tan metrik
pada April 2020. Ini berikutan oleh faktor bermusim yang menyebabkan pokok kurang produktif.

Perbandingan bulan ke bulan juga turut menurun sebanyak 36.2 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, stok getah asli menurun 7.9 peratus pada April 2021 kepada 259,355 tan metrik berbanding 281,729 tan metrik pada Mac 2021.

Kilang pemproses getah menyumbang sebanyak 90.3 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.6%) dan estet getah (0.1%).

Pengurangan stok ini turut dipengaruhi oleh faktor di peringkat penawaran, justeru, stok sedia ada juga digunakan bagi menampung pengurangan pengeluaran tersebut.

Menurutnya, harga purata bagi lateks pekat merekodkan penurunan kepada 623.40 sen sekilogram berbanding Mac 2021 (680.20 sen sekilogram).

Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan penurunan daripada 707.89 sen sekilogram kepada 667.85 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

Penurunan ini berikutan kebimbangan pasaran hadapan getah di peringkat global.

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 47,096 tan metrik, meningkat 31.1 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Perubahan tahun ke tahun ini merupakan yang tertinggi dicatatkan berbanding perubahan pada suku pertama tahun ini. Perbandingan dengan Mac 2021 pula menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus.

Penggunaan getah asli dalam pembuatan sarung tangan getah kekal mendahului sebanyak 34,716 tan metrik atau 73.7 peratus daripada jumlah penggunaan domestik pada April 2021 diikuti benang getah 4,198 tan metrik (8.9%) dan tayar dan tiub 3,588 tan metrik (7.6%).

Penggunaan getah asli dalam pembuatan sarung tangan getah pada April 2021 meningkat sebanyak 10.4 peratus berbanding 31,456 tan metrik pada April 2020.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 55,696 tan metrik pada April 2021, menurun 5.4 peratus berbanding 58,852 tan metrik pada Mac 2021.

China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli menyumbang 57.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2021 diikuti Jerman (8.1%), Amerika Syarikat (3.9%), Turki (2.6%) dan Finland (2.4%).

Sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM6.7 billion pada April 2021, meningkat sebanyak 4.7 peratus berbanding Mac 2021 (RM6.4 billion). Amerika Syarikat adalah negara pengimport tertinggi sarung tangan getah diikuti Jerman dan United Kingdom. – MalaysiaGazette