Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi petugas barisan hadapan sektor ekonomi (economic frontliner) akan beroperasi mulai esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, PPV di Bukit Jawi Golf Resort iaitu di bahagian Seberang Perai akan dibuka esok manakala di bahagian pulau iaitu di Hotel Equatorial pula pada 28 Jun ini.

“Dua PPV itu disasarkan mampu memberi 2,500 dos suntikan vaksin dalam sehari.

“Bagi cadangan pelaksanaan PPV di lapangan (on site PPV) pula membabitkan tiga syarikat multinasional dengan kapasiti 4,000 dos sehari dan kerajaan Negeri masih menunggu maklum balas lanjut daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeon berkata, sehingga hari ini, sebanyak tujuh PPV awam telah beroperasi membabitkan lima daerah di negeri ini.

“Pengoperasian PPV awam sebagaimana disenaraikan termasuk di empat buah hospital awam khas kepada golongan komorbid menjadikan keseluruhan suntikan harian berjumlah 8,500 dos.

“Bagi kategori PPV awam juga, Balai Rakyat Bayan Baru, Daerah Barat Daya dengan kapasiti 800 dos sehari akan mula beroperasi pada 22 Jun ini diikuti Pusat Konvesyen Perda (1,000 dos/sehari), Serbaguna Sungai Bakap (1,200 dos/sehari).

“Manakala 3,000 dos sehari bagi PPV mega di Spice Arena yang beroperasi sejak 7 Jun lalu.

“Selain itu, hasil usahasama kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Universiti Sains Malaysia (USM), dua PPV komuniti juga bakal dibuka membabitkan kampus induk di Batu Uban dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Bertam dengan jumlah kapasiti 1,400 dos dalam tempoh sehari,” ujar beliau.

Tambah Kon Yeow, secara keseluruhan, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga semalam menunjukkan jumlah pendaftaran kumulatif bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi Pulau Pinang adalah seramai 900,073 orang manakala jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi dos pertama ialah 162,007 penerima dan 79,844 penerima (dos kedua). – MalaysiaGazette