Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa seorang kakitangannya sendiri atas dakwaan kes rasuah di Mahkamah Seksyen 1 di Shah Alam hari ini.

Suspek didakwa bersama seorang lagi tertuduh melibatkan kes rasuah melibatkan wang tunai RM100,000, kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai berkenaan, Shahrul Izuan Mohd Zin, 41, dituduh bersubahat dengan Teoh Peng Sin, 55, bagi menerima suapan wang tunai sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan terhadap seorang individu di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Kedua-dua tertuduh telah ditahan oleh SPRM pada 14 April lalu dan pertuduhan hari ini dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam, Rozilah Salleh.

“Pegawai terbabit juga sebelum ini pernah ditahan oleh pihak polis berkaitan kes siasatan di bawah Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012, bagaimanapun pertuduhan hari ini tiada kaitan dengan kes tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan yang sama.

SPRM tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang oleh kakitangannya sendiri.

“Kami menegaskan tidak sesekali akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang oleh mana-mana pegawai kami.

“SPRM akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melakukan perkara tersebut,” tegas kenyataan itu.- MalaysiaGazette