Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Gara-gara tertekan tidak mempunyai pekerjaan dan hidup sebatang kara, seorang pemuda cubaan membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 sebuah bangunan.

Bagaimanapun mangsa berjaya dipujuk dan diselamatkan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di Jinjang Utara, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, pihak polis terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati lelaki tersebut telah diselamatkan oleh orang awam.

“Seterusnya lelaki tersebut dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut dan siasatan mendapati lelaki itu berusia 25 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak telah cuba membunuh diri kerana mengalami tekanan emosi disebabkan tiada pekerjaan dan hidup sebarang kara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa menumpang di rumah rakan di PPR itu.

Menurut Eng Lai, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu mencuba melakukan kesalahan membunuh diri.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” katanya. – MalaysiaGazette