Suasana lengang di Menara Dato Onn tanpa kelibat pemimpin UMNO selepas dikatakan terdapat mesyuarat luar biasa menteri UMNO bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Walaupun terdapat penafian mesyuarat Menteri dari UMNO bersama Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diadakan pada hari ini namun masih banyak kenderaan mewah, dipercayai milik pemimpin politik, berlegar di sekitar Menara Dato Onn.

Lebih menghairankan apabila petugas media tidak dibenarkan berada di lobi Menara Dato Onn sejak jam 3 petang tadi, seolah-olah ada sesuatu yang berlaku di ibu pejabat UMNO pada hari ini.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, walaupun tiada mesyuarat seperti mana yang dilaporkan portal Suara TV kira-kira jam 12 tengah hari tadi, namun beberapa pemimpin UMNO dimaklumkan berada di sini.

Antaranya Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber bagaimanapun memberitahu, kehadiran mereka hanya untuk satu pertemuan biasa dengan orang-orang parti termasuk menghantar laporan setiap bahagian.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati sebuah kenderaan rasmi milik setiausaha politik kepada Menteri turut berada di parkir lobi Menara Dato Onn, kira-kira jam 3.10 petang tadi.

Ahmad Zahid mungkin berada di ibu pejabat UMNO memandangkan kelihatan sebuah kenderaan berwarna hitam diiringi dua anggota polis pengiring yang menaiki motosikal berkuasa besar.

Terdahulu, Ismail Sabri menafikan satu mesyuarat luar biasa diadakan di antara Menteri dari UMNO dengan Ahmad Zahid pada hari ini.

Perkara itu turut diakui Setiausaha Kerja UMNO, Mohd Sumali Reduan yang menafikan perkara tersebut.

Sebaliknya beliau hanya menyifatkannya sebagai khabar angin semata-mata. – MalaysiaGazette