RAWANG – Segelinitir warga emas merasa pelik dengan golongan anti vaksin Covid-19.
Malah mereka lebih bersemangat untuk disuntik dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiri virus tersebut.
Menurut Chee Wang, 91, beliau tidak takut untuk menerima vaksin Covid-19 sebaliknya mahu lebih ramai golongan muda melakukan perkara yang sama.
“Selain vaksin untuk Covid-19 apa lagi pilihan kamu ada, saya tidak mempunyai apa-apa sakit dan umur saya 91 dan saya sihat sahaja. Cuma untuk saya berjumpa dengan yang lain-lain saya perlu suntik vaksin ini.
“Tidak ada apa-apa masalah, suntik sahaja apa takut,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV)Klinik SPCare Clinic, hari ini.
Bagi Dollah Anak Etingi, 91, beliau perlu mengambil vaksin kerana ramai orang disekelilingnya telah menerima vaksin.
Malah selepas vaksin dos pertama hari ini, Dollah yang tidak dapat bercakap meminta anaknya, Misie Anak Dollah memberitahu pengalaman beliau.
“Ayah saya ini sangat optimis dan yakin, tidak takut. Malah sungguh berani bila tahu ada vaksin dan perlu vaksin dia terus meminta saya mendaftar.
“Dia mempunyai darah tinggi dan asma tapi ini tidak halangnya untuk suntik vaksin. Usia sepatutnya tidak jadi penghalang malah sentiasa nasihatkan kami semua untuk suntik sekali,” kata Misie.
Pavai Arumugam, 45, yang baharu sahaja menjalani pembedahan membuang payudara akibat kanser menyatakan vaksin adalah satu keperluan.
“Ini juga adalah satu tanggungjawab penting yang perlu kita laksanakan bukan untuk diri sendiri sebaliknya untuk orang sekeliling juga bukan begitu?
“Jangan takut sangat atau percaya pada dakyah memburuk-burukkan vaksin. Buatlah pilihan terbaik untuk diri anda juga,” jelasnya.
Wong Kon Foong, 89, yang mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera ia merupakan langkah keselamatan dan masyakat perlu berfikiran positif.
“Saya tidak percaya dengan cerita buruk pasal kesan vaksin, sebab kita dah biasa dapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan kawalan penyakit. Kita suntik vaksin untuk cegah wabak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).
“Saya tidak bergantung harap pada anak-anak saya sebaliknya semuanya saya buat sendiri, apa takut? Saya dengan usia seperti ini pun berani, patutnya muda-muda lagi berani,” katanya yang meghidapi penyakit kencing manis.
Abdul Mukthahir, 59 yang juga Timbalan Presiden PRESMA pula berharap lebih ramai akan tampil menerima vaksin dengan cepat dan secara sukarela.
Malah beliau menasihatkan warga emas dan orang ramai agar tidak takut menerima vaksin kerana ia merupakan keperluan untuk menjaga diri dan keluarga terdekat. -MalaysiaGazette