Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan bagi melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instrument, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2021.

AMPANG – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan bahawa kerajaan tidak mahu melaksanakan program vaksinasi secara menyeluruh.

Katanya, program itu tidak boleh dijalankan secara menyeluruh kerana kekangan bekalan vaksin Covid-19 yang tiba ke negara ini secara berperingkat.

“Kerajaan bukan tak mahu beri vaksinasi secara menyeluruh tapi bekalan vaksin kita kena agihkan kepada seluruh negara dan bekalan vaksin datang berperingkat.

“Kita terpaksa agihkan sedangkan kita boleh buat lebih,” katanya melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Selangor.

PIKAS yang diumukan pada 12 Jun lalu merupakan salah satu kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta bagi menjalankan aktiviti aksinasi untuk sektor pembuatan.

Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan selepas melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instrument, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2021.

Ia dimulakan di tiga buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak yang akan memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan yang kritikal.

Program PIKAS dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk membantu mempercepat vaksinasi bagi rakyat khususnya pekerja.

Ia sebagai salah satu langkah kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok di kalangan masyarakat sekaligus melindungi pekerja daripada risiko jangkitan Covid-19 kerana keselamatan mereka dapat memastikan ekonomi kembali cerdas dan terus berdaya tahan

Majlis pelancaran PIKAS turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memberikan perhatian vaksinasi kepada sektor perkilangan bagi menyegerakan penurunan kes positif Covid-19.

“Ini yang saya harapkan, dengan adanya usaha sebegini langkah pulihkan negara akan tercapai,” katanya.

Muhyiddin turut berkata, badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga harus memainkan peranan masing-masing dengan mengerakkan pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita nak proses pendaftaran vaksin dalam MySejahtera, jadi kita mohon kerjasama semua pihak, terutamanya badan bukan kerajaan untuk bantu gerakan rakyat yang belum daftar supaya mendaftar segera,” ujarnya.

Beliau percaya pelancaran program imunisasi ini boleh mencapai kejayaan jika penyertaannya disambut secara menyeluruh. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerajaan bukan tak mahu beri vaksinasi secara menyeluruh tapi bekalan vaksin kita kena agihkan kepada seluruh negara dan bekalan vaksin datang berperingkat. Pihak P UNAH H ARAPAN P akatan H ancing kekal dengan kehancingannya KONONYYA rakyat MARAH LAMBAT DIVAKSIN
    MASALAH kedua rakyat dalam MySEJAHTERA pun masih ramai BELUM MENDAFTAR….dan terpaksa guna cara automatik dan pandulallu vaksin

Comments are closed.