Ketua Polis Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 JUN 2021.

NILAI – Polis telah mengeluarkan sebanyak 156 kompaun membabitkan 242 kesalahan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Abd Rahman berkata, ia merupakan statistik terkini bagi tempoh PKP Penuh Fasa Pertama yang dilaksanakan antara 1 Jun hingga 14 Jun lalu.

Kesemua nilai kompuan itu adalah berjumlah RM265,500, katanya.

“Daripada jumlah tersebut jenis kesalahan yang paling banyak menerima kompaun adalah tiada penjarakan fizikal membabitkan 101 kesalahan diikuti 87 kesalahan tidak memakai pelitup muka dan 32 kesalahan gagal mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatitkan butiran dalam buku rekod,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Fazley, kesalahan merentas negeri tanpa permit hanya merekodkan lima kesalahan sahaja membabitkan masyarakat setempat di daerah tersebut.

Justeru sebanyak 13 kesalahan direkodkan iaitu menganjurkan aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh PKP manakala menaiki kenderaan persendirian melebihi kapasiti sekadar tiga kesalahan dan akhirnya satu kesalahan gagal mematuhi arahan kuarantin kendiri.

“Saya yakin di fasa pertama PKP yang dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini, kita boleh komited dan disiplin diri duduk rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Kerjasama masyarakat dan polis sejajar tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ amat penting dalam keadaan kritikal ini supaya terus kekal bersama polis dalam bersama-sama melawan Covid-19 dan menurunkan kes jangkitannya dengan mematuhi SOP secara serius.

“Jika ada juga individu-individu yang masih berdegil maka polis akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas ke atas mereka yang ingkar araha termasuk tindakan kompaun berlunaskan undang-undang sedia ada,” tegasnya.-MalaysiaGazette