Tindakan sekumpulan lapan lelaki yang leka berlatih silat di Bandar Utama dekat sini hari ini dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan lapan lelaki yang leka berlatih silat di Bandar Utama dekat sini hari ini dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku pada 12.10 tengahari tadi selepas pasukan peronda pemantau pematuhan SOP telah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu mendapati sekumpulan individu sedang menjalankan aktiviti latihan persilatan secara beramai-ramai.

“Mereka tidak mematuhi SOP penjarakan fizikal dan larang aktiviti berkumpul beramai-ramai yang disyaratkan MKN pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Penuh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua individu itu berusia lingkungan 26 hingga 31 tahun telah dikeluarkan kompaun berjumlah RM16,000 iaitu RM2,000 setiap seorang manakala penganjur/tuan rumahnya dikenakan kompaun RM10,000 di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Tambah Mohamad Fakhrudin, rumah berkenaan dijadikan pusat latihan akademi silat itu yang dihiasi keris di setiap penjuru pada dinding.

“Justeru, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP Penuh yang dilaksanakan dan kegagalannya akan membolehkan orang ramai dikompaun minima RM1,500 atau ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” tegas beliau.-MalaysiaGazette