Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa meminggirkan amaran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh terpaksa dilaksanakan sekarang.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh mendakwa PKP Penuh ini membantu negara mengelak bencana selepas 2,680 kes kematian dan 214,222 kes jangkitan berlaku sepanjang tempoh dua bulan ini.

”Sebab sebuah kerajaan yang hargai nyawa rakyat dan sayang negara akan membuat keputusan tepat yang berpandu pada data dan sains dan tidak akan mengetepikan amaran berikut amaran dari kementerian kerajaan sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memuji langkah kerajaan melaksanakan total lockdown telah mengelak bencana sebab kes baharu Covid-19 tidak capai unjuran 13,000 kes sehari.

”Jadi, kenapa pula kerajaan PN tak buat total lockdown pada
– 21 April apabila kes baru cecah unjuran 3,000 kes sehari KKM secara konsisten sehingga KKM terpaksa naikkan unjuran ke 5,000 kes?

” 2 Mei apabila KP KKM beri amaran bahawa katil ICU sudah kritikal, 12 Mei apabila kes baru cecah unjuran 5,000 kes sehari dan KKM terpaksa naikkan unjuran sekali lagi ke 9,000 kes.

”3,000 kes sehari bukan bencana? 5,000 kes tak bencana? 9,000 kes sehari belum lagi bencana?” soal Najib.

Kata Najib, kerajaan terpaksa buat PKP Penuh apabila kes baharu benar-benar cecah 9,000 kes dan KKM sekali lagi naikkan unjuran ke 13,000 kes sehari.

Sedangkan Australia, Taiwan, New Zealand dan Singapura buat lockdown mengejut serta-merta untuk seketika sebaik sahaja mereka kesan belasan kes baharu.

”Kita di sini pula, tunggu lebih sebulan sambil KKM berulang kali menaikkan unjuran dan berkali-kali memberi amaran sepanjang tempoh.

”Baru lah kerajaan PN terpaksa buat setelah keadaan kritikal menjadi bencana dan bencana bertukar menjadi bencana besar.

”Sakit menimpa, sesal kemudian pun tak guna sebab ribuan nyawa sudah terkorban secara sia-sia dan ekonomi rakyat biasa terpaksa lumpuh hingga akhir tahun. Tak kira awal atau lewat buat lockdown, kita tetap lockdown juga,” katanya.

Najib berkata, jika PKP penuh dibuat awal secara ketat ketika masanya paling tepat, tempoh masa untuk pulih juga akan jauh lebih singkat seperti terbukti di negara-negara lain.

”Adakah kerajaan PN pernah terfikir berapa ramai nyawa manusia dapat diselamatkan, berapa ratus bilion Ringgit impak ekonomi tidak terbuang dan berapa banyak penderitaan serta kemusnahan dapat dielakkan sekiranya kerajaan membuat keputusan yang tepat dan tidak lembab?”‘ tanya beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast