Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Meskipun peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ketidaktentuan kepada semua namun kebanyakan rakyat Malaysia kekal optimistik mengenai situasi ekonomi pasca Covid-19, menurut kaji selidik berjudul Projek BREW yang dijalankan oleh InsightzClub.

Kaji selidik itu membabitkan lebih 600 peserta berusia 21 tahun ke atas, menumpukan pengguna yang melayari, membeli dan menjual daripada platform dalam talian dengan mengenengahkan 70% responden mencari kaedah menjana kekayaan menerusi pelaburan, dengan 41% pengguna memilih pelaburan hartanah.

Dapatan kaji selidik tersebut menunjukkan responden berusia antara 24-35 tahun merupakan pembeli dan penjual utama hartanah.

Malah, dapatan juga menunjukkan bahawa keseluruhan penjual hartanah tersebut adalah mereka yang memiliki pendapatan isi rumah lebih tinggi (RM8,000 dan ke atas).

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa 69% pembeli hartanah bergantung lebih lagi kepada platform dalam talian berbanding bukan dalam talian, dengan Mudah.my menjadi pilihan utama bagi pembelian dan penjualan hartanah.

Ia selari dengan tempat pasaran terbesar Malaysia yang memiliki lebih 8,000 penyenaraian bagi hartanah baharu di bawah harga RM500,000 di seluruh negara.

Ketua Pemasaran Mudah.my., Andrew berkata, pandemik sekarang memberi kesan buruk ke atas ekonomi namun, masih ada harapan.

Pengguna Malaysia kekal secara relatifnya, optimistik mengenai pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dan mencari kaedah untuk melonjakkan portfolio pelaburan mereka.

Kaji selidik itu turut meliputi tingkah laku pemilik rumah baharu, mendedahkan bahawa kebanyakan pembeli hartanah berhasrat untuk membeli peralatan elektronik baharu bagi kediaman baharu mereka.

Antara perkakasan besar paling popular termasuklah peti ais, pendingin hawa dan mesin basuh. Sementara itu, penyaman udara, pembersih air, ketuhar gelombang mikro dan mesin pengering baju juga merupakan barangan kecil yang mesti ada. Oleh itu, pembelian dan penjualan hartanah dilihat sebagai cara terbaik untuk merangsang ekonomi.

Kaji selidik itu mengenengahkan bahawa 16% daripada semua responden berhasrat untuk berbelanja dan menumpu kepada kereta.

Kepentingan tempat pasaran Internet sekali lagi dibuktikan, dengan lebih daripada 70% pengguna bergantung kepada platform dalam talian untuk maklumat, dengan Mudah.my menjadi sumber dalam talian utama bagi pembelian dan penjualan kereta. – MalaysiaGazette