Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang media selepas Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instrument, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2021.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang media selepas Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instrument, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan semua pekerja sektor pembuatan seramai 2.25 juta dapat diberikan suntikan vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan sektor industri akan dapat dicapai.

Ia bagi membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka, katanya.

“Suku pertama 2021, sektor pembuatan kita mempunyai 2.25 juta pekerja, jadi saya percaya dengan bekalan yang mencukupi ianya akan dapat memenuhi keperluan ini kerana apabila kita mencapai tahap tertentu dalam Pelan Pemulihan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri.

“Sudah tentu akan ada fasa-fasa tertentu yang kita akan buka secara berperingkat dan kalau ini berlaku ini maka pekerja ini akan datang untuk bekerja,” katanya dalam sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat ke Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Ampang hari ini.

Mohamed Azmin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan semua pekerja disuntik sebelum mereka dibenarkan kembali bekerja seperti biasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, majikan tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang kos kepada pekerja.

“Oleh kerana pihak industri ingin memberikan kemudahan bagi melancarkan program imunisasi ini maka sebarang kos tambahan akan dibiayai oleh pihak majikan dan industri dan tidak boleh dikenakan kepada pekerja,” katanya lagi.

Sejumlah 150,000 dos vaskin telah dijanjikan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin untuk bagi tempoh sebulan.

Esok, lebih 16,402 pekerja dari 21 kilang di sekitar Pulau Pinang akan menerima suntikan dan seramai 5,123 pekerja Petronas pada Jumaat depan.

Setakat ini, 500 syarikat yang telah memohon untuk menyertai program PIKAS dengan melibatkan 160,000 pekerja.

Untuk rekod, PIKAS akan digerakkan menggunakan dua model iaitu suntikan di tempat kerja dan suntikan di enam Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast