Warga emas menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sasaran kerajaan untuk mencapai 200,000 vaksinasi sehari tercapai semalam apabila sebanyak 215,876 dos diberikan kepada penerima Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Selasa, 15 Jun.

Perkembangan terbaharu itu dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam ciapan di laman Twitter.

Beliau berkata, bagi proses pemberian vaksin semalam, seramai 160,226 individu menerima dos pertama manakala 55,650 individu pula menyempurnakan dos kedua.

Sehingga kini, seramai 3,435,420 individu menerima dos pertama manakala 1,468,689 individu pula telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 manakala seramai.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,904,109.

Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 187,443 diikuti Sarawak (168,471); Johor (142,868); Perak (139,612) dan Kuala Lumpur (131,882).

Mengenai jumlah pendaftaran harian kumulatif vaksin, Dr. Adham berkata, seramai 13,837,410 pendaftaran direkodkan semalam, dengan perkembangan nasional sebanyak 59.10 peratus.

Selangor menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah pendaftaran iaitu sebanyak 3,513,960 diikuti Johor (1,727,211), Sarawak (1,323,339) dan Kuala Lumpur (1,168,192). – MalaysiaGazette