Shivan Pillay Asokan (kiri).

KUALA LUMPUR – Kapten pasukan Selangor FC 2, Shivan Pillay Asokan mengakui latihan bersama skuad utama Selangor FC mengajar dirinya untuk lebih bijak membuat keputusan di atas padang kerana berdepan cabaran sengit bersaing bersama pemain lebih berpengalaman.

Pemain muda berusia 21 tahun ini berpeluang untuk menjalani latihan bersama skuad utama dalam Camp Based Training ketika ini bersama-sama seorang lagi pemain Selangor 2 iaitu George Attram.

Jelasnya, peluang yang diperoleh ini digunakan sebaiknya untuk Shivan mendapatkan pengalaman lebih berguna kerana corak latihan yang dilakukan adalah berbeza dan lebih laju sekali gus memaksa dirinya untuk lebih bekerja keras bagi menyesuaikan diri.

Meskipun bukan senang untuk menembusi skuad utama beraksi di pentas Liga Super, Shivan berharap dirinya akan mampu mencuri perhatian pengendali, Karsten Neitzel untuk sekurang-kurangnya beraksi dalam beberapa perlawanan bersama skuad utama sebelum berakhir musim 2021.

“Sememangnya rasa teruja dan gembira kerana ia satu impian setiap pemain muda untuk berada bersama skuad utama dan berlatih bersama pemain yang lebih berpengalaman.

“Perbezaan yang saya boleh katakan adalah masa yang terhad untuk pegang bola, sebagai contoh apabila kita menerima bola, kita kena bersedia untuk melakukan pergerakan seterusnya dengan lebih cepat kerana di sini, pemain lain akan cepat merampas bola dengan mudah.

“Tetapi, daripada situlah saya dapat belajar untuk lebih bijak membuat keputusan dalam masa yang tepat dan saya akan terus bekerja keras dengan harapan dapat berpeluang beraksi bersama mereka di pentas Liga Super”, jelasnya.

Dalam masa sama, bekas pemain PKNS FC ini berharap apa yang telah dipelajari bersama skuad utama akan berguna untuk turut sama membantu Selangor FC 2 memperbaiki kedudukan mereka di Liga Premier yang kini di tangga keenam.

Ini kerana, jurang perbezaan mata antara pasukan lain yang berada di kedudukan lima teratas tidak terlalu besar dan mampu untuk mengejar bagi sekurang-kurangnya meraih kedudukan tiga terbaik pada musim ini.

“Setakat ini secara peribadi prestasi saya bersama pasukan adalah baik dan saya cukup gembira dengan corak permainan yang ditampilkan oleh pasukan ini tetapi sudah tentu akan selalu ada ruang untuk penambahbaikan.

“Kita sudah berlatih dengan cukup kuat untuk terus mencapai prestasi terbaik dan saya percaya kami akan dapat bersaing dengan lebih hebat untuk cuba menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas Liga Premier,” tambahnya.

Bagi saingan Liga Super, Selangor FC ketika ini menduduki tangga kelima selepas 13 perlawanan dan Selangor FC 2 di kedudukan keenam selepas mengumpul 15 mata setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast