PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR -Tiga individu termasuk seorang wanita dicekup selepas kereta yang dinaiki terbabas dalam longkang besar berhadapan Taman Sri Nanding, Hulu langat, petang semalam.

Kejadian berlaku pada jam 5.15 petang semalam di Jalan Cheras menuju ke Kajang, kata Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar hari ini.

Menurutnya, kereta itu ditahan oleh peronda MPV Ibu Pejabat Cheras yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.

Dalam rondaan itu, anggota polis terlibat terlihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan, selain bercermin gelap.

“Kenderaan yang menghala ke Kajang itu telah diarahkan berhenti di tepi jalan untuk tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun kereta itu bertindak memecut laju,” katanya.

Susulan kejadian itu, anggota MPV itu telah memohon bantuan daripada Pusat Kawalan Cheras untuk menghantar bantuan.

Menurut beliau, sebanyak tiga unit MPV telah digerakkan untuk mengejar dan menangkap suspek hingga kereta berkenaan terbabas di dalam longkang.

Polis bertindak mengepung kereta tersebut, berjaya menangkap tiga individu tempatan termasuk seorang wanita dengan bantuan penduduk tempatan.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Mohammad Idzam berkata, semua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah dan saringan awal air kencing juga mendapati ketiga-tiga saspek adalah positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette