BEIJING – China menghantar tiga angkasawannya ke orbit bagi menghuni stesen angkasa baharu negara itu.

Tiga lelaki itu, Nie Haisheng, Liu Boming and Tang Hongbo, akan berada di modul Tuanhe, yang berada 380 kilometer di atas bumi, selama tiga bulan, lapor BBC.

Ia merupakan misi angkasawan China pertama dalam tempoh hampir lima tahun dan terpanjang setakat ini.

Roket Long March 2F yang membawa kapsul Shenzhou-12 dilancarkan pada hari ini.

Ia dilancarkan dari pusat pelancaran satelit Jiuquan di gurun Gobi pada jam 9.22 waktu Beijing (01:22 GMT).

Pelancaran tersebut dan misi sebelumnya menunjukkan keyakinan dan keupayaan China bagi menguasai angkasa.

Dalam tempoh enam bulan lalu, negara itu telah membawa pulang sampel batu dan tanah dari bulan selain mendaratkan kenderaan robot enam roda di planet Marikh. – MalaysiaGazette