Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dilaporkan kurang sihat sebelum ini kini semakin pulih dan sedang berehat di kediamannya.
Abdullah Ahmad Badawi

KUALA LUMPUR – Pejabat bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyatakan pihaknya menerima satu lagi dakwaan bahawa beliau sudah meninggal dunia.

Berikutan itu, pejabat Tun Abdullah menafikan dakwaan itu.

“Untuk makluman semua pihak, Tun berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga beliau

Pejabat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,” demikian menurut pejabat Tun Abdullah.

Pejabat Tun Abdullah juga berharap masyarakat dapat memastikan dahulu kesahihan berita daripada pihak yang berautoriti sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan kekeliruan.

Pada tahun lalu, tiga dakwaan mengenai berita kematian Tun Abdullah tular menyebabkan satu laporan polis terpaksa dibuat pihak pengurusan pejabat beliau.

Kali terakhir berita palsu Tun Abdullah meninggal dunia adalah pada 22 April lalu menerusi Facebook.

Berita palsu itu disebarkan menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian bekas pemimpin negara yang mesra disapa Pak Lah itu.

Pada 2 Ogos tahun lalu, media sosial gempar apabila terdapat mesej mengenai keadaan kesihatan Perdana Menteri Malaysia kelima dari 2003 hingga 2009.

Pada November tahun lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dua individu, termasuk penulis artikel sudah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung penularan berita berkenaan. – MalaysiaGazette