Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjana pelaburan pertama berjumlah RM8.5 bilion pada separuh tahun kedua tahun ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, pelaburan itu datang dari syarikat Austria Technologie & Systemtechnic AG (AT&S) yang merupakan pengeluar utama dunia bagi produk high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit substrates (IC).

“Syarikat ini telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM8.5 bilion di Malaysia di mana pelaburan pertama akan bermula pada separuh tahun kedua tahun 2021.

“Projek ini merupakan salah satu daripada projek yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan dijangka menjana 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang melibatkan bidang teknologi dan inovasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, pelaburan itu sejajar dengan kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa negara mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor primer pada suku pertama tahun ini.

Ini katanya, menyaksikan kenaikan sebanyak 95.6 peratus berbanding RM41.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pelaburan daripada AT&S ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Kerajaan, ujar beliau, akan terus meningkatkan usaha untuk menarik pelabur asing dan tempatan melabur dan memperbanyakkan peluang pekerjaan di negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan memperuntukan RM30 juta untuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui program latihan kemahiran dan keusahawanan khusus untuk pesara tentera.

Peruntukan itu merupakan inisiatif kerajaan melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bagi menambah baik status sosioekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Veteran ini akan dilatih untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dimiliki bagi sektor pekerjaan dan keusahawanan yang mereka ceburi.

“Veteran ATM yang layak memohon ialah mereka yang telah menjalani Latihan Peralihan antara tahun 2015 hingga 2021 dan dijangka memanfaatkan 12,000 veteran,” katanya. – MalaysiaGazette