Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Malaysia mencapai kemajuan yang baik terutamanya dalam menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, kadar kemiskinan mutlak telah berkurang kepada 5.6 peratus (405,441 isi rumah) pada tahun 2019 berbanding 7.6 peratus (525,743 isi rumah) pada tahun 2016.

Katanya, kadar kemiskinan tegar juga telah berkurang daripada 0.6 peratus (45,004 isi rumah) pada 2016 kepada 0.4 peratus (27,158 isi rumah) pada tahun 2019.

“Insiden kemiskinan telah berkurang bagi semua kumpulan etnik dengan peratusan pengurangan terbesar dicatatkan oleh kaum Bumiputera.

“Bagaimanapun, masih terdapat kelompok kemiskinan dan ketidaksamarataan serta kemiskinan pelbagai dimensi – kemiskinan dalam konteks yang lebih luas, melibatkan aspek pendapatan dan bukan kewangan merangkumi kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas.

“Impak pandemik Covid-19 kepada ekonomi Malaysia telah menjejaskan pendapatan rakyat dan menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan rentan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mustapa, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, pandemik itu telah menyebabkan kadar kemiskinan di Malaysia meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020.

Jelasnya, laporan VNR 2021 (Laporan Sukarela Kebangsaan) mengenengahkan kejayaan Malaysia daripada aspek pertumbuhan ekonomi, penjagaan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, keselamatan awam serta hubungan antarabangsa.

“Walaupun telah banyak kejayaan dicapai, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pencapaian Agenda 2030 yang antaranya iaitu Isu malnutrisi, beban penjagaan kesihatan yang meningkat, urang digital, jurang ketidaksamarataan, melindungi alam sekitar dan pembangunan inklusif,” ujarnuya.

Tambah beliau, pandemik Covid-19 telah memberi kesan terhadap pencapaian SDG (Matlamat Pembangunan Mampan), namun ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menetapkan semula pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih makmur, inklusif dan mampan.

Terdahulu, Mustapa berkata, beliau menyertai dua sesi perbincangan secara webinar bersama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), UPE, JPM, Abdul Halim Abdul Aziz; Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Azwan Abdullah; Pengarah Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development, Sunway University, Prof. Woo Wing Thye; dan Pengerusi bersama Malaysia CSO-SDG Alliance, Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria.

Katanya, sesi tersebut yang dipengerusikan Felo Utama, Profesor Sains Politik, Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli dan Ketua Program, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Rusmawati Said telah menarik lebih 300 peserta.

Jelas beliau, webinar itu dianjurkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) bersama Jeffrey Sachs Centre on Sustainable Development (JSC) dan Sustainable Development Solutions Network (SDSN) Malaysia bersempena denganVNR 2021 ke Forum Politik Peringkat Tertinggi Mengenai SDG (HLPF – HighLevel Political Forum on Sustainable Development) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang akan diadakan pada 15 Julai ini. – MalaysiaGazette